Selasa, 27 Disember 2016

Logo Halal JAKIM

Apa yang anda perlu tahu tentang pensijilan halal Jakim?

Apa itu Halal?

Halal berasal daripada kalimah Arab yang bermaksud dibenarkan atau dibolehkan oleh Hukum Syarak. Takrif Halal mengikut Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan “Halal”) 1975 adalah seperti berikut:

Apabila digunakan berhubung dengan makanan dalam apa-apa juga bentuk dalam perjalanan perdagangan atau perniagaan sebagai suatu perihal dagangan atau sebagai sebahagian daripada suatu perihal dagangan yang dipakai bagi makanan itu, perbahasaan-perbahasaan ‘Halal’, ‘Ditanggung Halal’ atau ‘Makanan Islam’ atau apa-apa perbahasaan lain yang menunjukkan atau mungkin difahamkan sebagai menunjukkan bahawa orang-orang Islam adalah dibenarkan oleh agama mereka memakan makanan itu maka perbahasaan itu hendaklah mempunyai erti yang berikut, iaitu makanan yang berhubung dengan perbahasaan atau perbahasaan-perbahasaan itu digunakan:
  • Bukanlah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda dari binatang yang orang Islam dilarang oleh   Hukum Syarak memakannya atau yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak;
  • Tidaklah mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut Hukum Syarak;
  • Tidak disedia, diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas dari benda-benda najis mengikut Hukum Syarak; dan
  • Tidaklah dalam masa menyedia, memproses atau menyimpannya itu bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang   tidak memenuhi kehendak-kehendak perenggan (a), (b) atau (c) atau apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut Hukum  Syarak.
 
Apakah logo Halal?
Logo halal bermaksud logo yang dikeluarkan oleh JAKIM/ JAIN/ MAIN dan mengandungi:
 
 
 
  • Bintang berbucu lapan di tengah-tengah bulatan;
  • Perkataan Arab – “حلآل” di tengah bintang;
  • Diikuti tulisan rumi “HALAL”;
  • Bulatan logo tertulis perkataan “Malaysia” dalam tulisan Rumi dan ماليزيا   dalam perkataan Arab;
  • Dua bintang kecil berbucu lima diletakkan bagi memisahkan tulisan rumi dan perkataan Arab tersebut.
 
 
Siapa yang layak memohon Sijil Pengesahan Halal?
  • Pengeluar/ pengilang produk (manufacturer/ producer);
  • Pengedar/penjual (distributor/ trader);
  • Pengeluar sub-kontrak (sub-contract manufacturer);
  • Pembungkusan semula (repacking);
  • Premis makanan (food premise); dan
  • Rumah sembelih (abattoir/slaughter house). 

Bagaimana memohon Sijil Pengesahan Halal?

Permohonan Sijil Pengesahan Halal bagi pasaran di peringkat nasional dan antarabangsa hendaklah memohon secara terus kepada Hab Halal, JAKIM melalui permohonan secara online.

Bagi pasaran di peringkat pasaran tempatan, permohonan hendaklah dipohon terus kepada JAIN/MAIN mana yang berkenaan.

Kenapa permohonan Sijil Pengesahan Halal ditolak?

Pemohonan akan ditolak bagi perkara-perkara berikut:
  • Syarikat yang mengeluar dan mengedar produk halal dan tidak halal;
  • Produk yang tidak halal;
  • Bahan semulajadi yang tidak melibatkan sebarang pemerosesan;
  • Ubat-ubatan atau produk yanng dikategorikan sebagai keluaran farmaseutikal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia;
  • Pewarna rambut (hair color / hair dye);
  • Produk siap diproses (finish processed product) yang dikeluarkan di luar negara;
  • Produk yang menggunakan nama yang sinonim dengan istilah yang mengelirukan seperti bak kut teh dan sebagainya;
  • Baja dan makanan binatang;

Apa yang diperlukan untuk mendapatkan Sijil Pengesahan Halal?

Keperluan Umum Pensijilan Halal:

Setiap pengeluar produk/premis makanan/ rumah sembelih hendaklah mengeluarkan produk halal sahaja.
  • Setiap syarikat yang memohon Sijil Pengesahan Halal hendaklah memastikan sumber bahan ramuan adalah halal dan memilih pembekal atau sub-kontraktor yang membekalkan bahan-bahan halal atau mempunyai Sijil Pengesahan Halal.
  • Setiap syarikat hendaklah memastikan prosedur halal dipatuhi dalam aspek seperti yang digariskan di dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.
  • Syarikat yang disenaraikan dalam kategori Multinasional dan Industri Kecil & Sederhana (IKS) adalah wajib mewujudkan Jawatankuasa Audit Halal Dalaman dan melantik seorang Eksekutif Hal Ehwal Islam (Pengajian Islam) bagi mengendalikan dan memastikan pematuhan prosedur pensijlan halal;
  • Disyaratkan mempunyai mnima dua orang pekerja Muslim yang tetap dan berwarganegara Malaysia di bahagian dapur/ pengendalian/ pemerosesan makanan;
  • Semasa penyediaan, pengendalian, pemerosesan, pembungkusan atau pemindahan produk hendaklah dalam keadaan bersih dan tidak mengandungi bahan ramuan yang tidak halal mengikut hukum syarak;
  • Penggunaan peralatan atau kemudahan dalam premis hendaklah bersih dan bebas dari dicemari najis mengikut hukum syarak atau yang memudaratksn kesihatan;
  • Pengangkutan yang digunakan hendaklah untuk produk halal sahaja;
  • Kebersihan peralatan, pengangkutan, kawasan pengeluaran dan persekitaran amat dititikberatkan dan syarikat hendaklah mengamalkan amalan pengilangan yang baik (Good Manufacturing Practices)
  • Alat penyembahan agama tidak dibenarkan sama sekali di dalam premis/ kawasan pemerosesan makanan.
  • Pekerja hendaklah mengamalkan kod etika pekerja dan amalan kesihatan yang baik (Good Hygiene Practices).
 
 
 
Apakah  kod etika pekerja dan amalan kesihatan yang baik?
  • Semua pekerja perlu mendapatkan suntikan tertentu dimana-mana pusat kesihatan yang diakui oleh kerajaan sebelum dan selepas diambil bekerja;
  • Semua pekerja hendaklah mengamalkan penjagaan kesihatan dan kebersihan diri yang baik, terutamanya bagi mereka yang bekerja sebagai operator pengeluaran;
  • Pekerja yang kurang sihat atau mengalami kecederaan atau luka terbuka yang boleh menjejaskan kualiti sesuatu keluaran tidak dibenarkan bekerja sehingga pulih;
  • Sentuhan secara terus di antara tangan pekerja dengan bahan mentah dan keluaran separuh siap hendaklah dihindarkan;
  • Merokok, makan, minum atau menyimpan makanan, minuman, rokok, ubat dan lain-lain hendaklah dilakukan di kawasan yang dikhaskan dan tidak dibenarkan di kawasan pengeluaran atau mana-mana tempat yang boleh menjejaskan kualiti keluaran;
  • Semua orang yang hendak masuk ke dalam kawasan pengeluaran mestilah memakai pakaian khas untuk kilang atau pakaina sopan dan bersih (jika tidak ada pakaian khas) mengikut prosedur penjagaan kesihatan dan kebersihan diri termasuk pekerja tetap, pekerja sementara, kakitangan pengurusan, pelawat dan lain-lain;
  • Pekerja hendaklah sentiasa menjaga kebersihan diri dan memakai pakaina yang sesuai, penutup kepala dan mulut, sarung tangan dan kasut yang sesuai;
  • Pekerja hendaklah sentiasa membasuh tangan secara sempurna dengan bahan pencuci yang bersesuaian;
           1. Sebelum memulakan aktiviti pengendalian makanan;
           2. Selepas menggunakan tandas;
           3. Selepas mengendalikan bahan mentah atau bahan yang tercemar dan  sebagainya.

  • Pekerja tidak dibenarkan memakai apa-apa barang kemas atau barang perhiasan, jam dan sebagainya di kawasan pemerosesan makanan yang mungkin menyebabkan pencemaran (contamination) dalam proses pengendalian makanan tersebut;
  • Pekerja hendaklah sentiasa bertugas dan berfungsi di tempat yang diarahkan seperti ”check point” kualiti halal dan pembelian bahan mentah yang halal;
  • Pekerja hendaklah komited dan bertanggungjawab dengan polisi halal yang ditetapkan.
Sumber: http://www.halal.gov.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...