Adakah Emas & Perak sebuah ASET?
Emas dan perak merupakan dua komoditi yang memiliki nilai yang tersendiri. Kedua-dua jenis logam ini memiliki nilai tersendiri yang pasti mendapat perhatian serta permintaan manusia. Penggunaan kedua-dua jenis logam ini yang lazimnya untuk menghasilkan barang-barang kemas serta untuk tujuan lain memastikan permintaan serta pengeluarannya sentiasa ada sepanjang masa.
Selain itu, emas merupakan logam yang tidak mudah teroksida (berkarat). Sifat ini memastikannya tetap stabil dan tahan dalam jangka waktu yang sangat lama. Sebagai contoh, meskipun kepingan emas ini tenggelam di dasar lautan, ia mampu untuk mengekalkan bentuk asalnya tanpa mengalami perubahan oleh air laut yang masin.
Begitu juga, emas yang telah dikeluarkan dari perut bumi ribuan tahun dahulu tetap sama nilainya dengan emas yang baru sahaja dikeluarkan dari perut bumi pada hari ini. Oleh sebab itu, emas merupakan alat penyimpan kekayaan (store of value) yang paling baik. Ia berbeza dengan komoditi lain seperti kertas, meskipun boleh digunakan sebagai alat tukaran (medium of exchange), namun begitu ia tidak dapat menyimpan kekayaan dalam tempoh yang lama.
Selain itu, emas merupakan logam yang dapat dibahagi-bahagi dalam ukuran kecil dan dapat dilebur semula. Dengan sifat tersebut ia dapat menjadi alat tukar yang dapat diubah menjadi sesuatu yang berguna pada bila-bila masa dengan tetap dapat menjaga nilainya. Sebagai contoh, pada hari ini ia digunakan sebagai barang kemas, tetapi pada keesokan harinya ia boleh dijadikan wang untuk pertukaran dengan barang.
Emas juga merupakan komoditi yang tinggi nilainya. Komoditi ini memiliki nilai per unit yang tinggi meskipun dalam ukuran yang kecil. Oleh itu, seseorang hanya perlu menggunakan emas yang sedikit untuk melakukan transaksi barangan mahupun perkhidmatan yang dalam ukuran besar. Sebagai contoh, harga untuk 1 auns emas adalah sekitar RM5478 pada 27 September 2016, iaitu RM176.12/ gram.
Keberadaan emas juga boleh diterima secara meluas. Ia diterima oleh masyarakat dunia sebagai benda yang bernilai, sekali gus mampu untuk dijadikan alat tukaran. Ia jauh berbeza dengan wang fiat yang penerimaannya bersifat tidak menyeluruh.
Sebagai contoh, mata wang ringgit hanya laku untuk dijadikan alat tukaran di dalam Malaysia dan di beberapa buah negara berdekatan sahaja, tetapi ia tidak akan laku untuk digunakan dalam pertukaran di negara lain seperti di Eropah dan Amerika. Ini berbeza dengan emas, ia memiliki nilai yang diterima di mana sahaja oleh masyarakat dunia sebagai benda yang bernilai tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan