Rabu, 19 September 2018

Rahsia Kemanisan Iman

Suatu ketika, Al-Allamah As-Syaikh Ali Jum'ah menceritakan dalam satu majlisnya:

"Adalah Al-Imam Abdul Qadir Al-Jailani R.A seorang yang apabila berkata-kata, ia membuatkan orang lain menangis, dan anaknya Abdul Wahhab (juga merupakan seorang alim besar) suatu ketika duduk untuk memberikan tazkirah daripada asar sehingga waktu maghrib. Tatkala datangnya ayahnya lalu duduk di dalam majlis, hadhirin pun mula menangis, sedangkan beliau belum pun memulakan bicaranya.

Dalam waktu yang lain, suatu ketika beliau hanya sekadar mengucapkan,

"Semalam aku berpuasa..."

Lalu terisak-isaklah orang ramai dalam tangisan. Adakah beliau mengatakan apa-apa yang membuatkan orang menangis? Beliau hanya mengatakan bahawa semalam dirinya berpuasa, akan tetapi kalimah 'berpuasa' ini keluar dari mulutnya yang sememangnya dalam keadaan berpuasa memberikan petunjuk-petunjuk bahawa ia adalah seorang hamba kepada Allah, dan ia telah mengekang dirinya daripada syahwat-syahwatnya kerana Allah, dan kalimah 'kerana Allah' ini tatkala keluar, kamu akan mendapati ia keluar dengan bercahaya.

Mereka merasakan kebesaran Allah dalam jiwa mereka dengan menyelinapnya pelbagai keadaan dan penyingkapan di dalam hati yang tidak mampu untuk diungkapkan. Lalu beliau meneruskan lagi perkataannya,

"Dan aku menyiapkan makananku untuk berbuka..."

Lalu, tersedu-sedulah lagi mereka menangis. Kerana dengan ungkapan itu saja, ia mengingatkan mereka bahawa manusia pun memerlukan kepada makanan, manusia adalah fakir tidak punya apa-apa dan sentiasa memerlukan kepada Allah Azza wa Jalla.

Ia berkata lagi,

"Lalu seekor kucing memakan ikan tersebut (yang disiapkan untuk berbuka)..."

Dan, mereka semua terisak-isak menangis lagi melihat akan hal dirinya yang berpuasa dan berlapar, akan tetapi kucing telah memakan ikan santapan berbukanya, lalu ia redha dengan ketetapan Allah dan tidak marah.

Setiap yang keluar dari mulutnya mengingatkan mereka kepada Allah.

Kerana kemanisan hatinya sendiri telah berinteraksi dan menyusup ke dalam hati-hati mereka, sehingga menjadikan kata-kata yang biasa pun mempunyai makna-makna dan petunjuk-petunjuk yang mengingatkan mereka kepada Allah."


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...